Tuesday, April 27, 2010

Syurga di bawah laut.....


PUlAU Sipadan yang mempunyai 12 lokasi selam utama untuk diterokai.


KEPUASAN dan ketenangan minda ketika menerokai keindahan alam di bawah permukaan air sememangnya sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata.
Melihat keunikan dan keanehan hidupan yang selama ini asing pada pandangan mata adalah faktor yang 'menarik' penyelam skuba untuk terus terjun ke dasar laut.
Bukan itu sahaja, jenis dan kategori selam yang berbeza juga sering menjanjikan pengalaman dan sesuatu yang baru untuk dicuba.
Bagi penyelam skuba kunci utama untuk mencapai kepuasan ketika menyelam adalah eksplorasi. Selepas puas meneroka keindahan di satu-satu lokasi, mereka akan beralih ke lokasi seterusnya.
Kali ini WOW! berkongsi lokasi-lokasi selam skuba terbaik di seluruh dunia untuk dimasukkan ke dalam senarai destinasi wajib dikunjungi penyelam.
Sipadan dan Layang-Layang, Malaysia
MALAYSIA tidak pernah ketinggalan dalam aktiviti selam skuba. Perairan beriklim tropika menjadikan negara ini antara destinasi kegemaran penyelam dari seluruh dunia.
Selain keindahan pulau-pulau seperti Redang, Perhentian dan Tioman, Malaysia mempunyai beberapa lokasi selam yang eksklusif yang bertaraf dunia.
Pulau Sipadan di Sabah yang pernah tergolong antara pulau tercantik di dunia masih lagi kekal sebagai permata dalam dunia selam skuba.
Pulau kecil itu kaya dengan pelbagai spesies jerung, ikan lumba-lumba, alu-alu, penyu dan pari.
Sipadan terkenal dengan keindahan terumbu karang dan hidupan macro (halus) yang memenuhi 'galeri dinding' di sekeliling pulau berbentuk cendawan itu.
Antara lokasi kegemaran penyelam di Laut Celebes itu adalah Barracuda Point dan South Point. Bagi penyelam tempatan, selam skuba sememangnya tidak lengkap selagi tidak menjejakkan kaki ke khazanah tidak ternilai ini.
Selain Sipadan, Sabah juga mempunyai beberapa lagi lokasi selam yang dianggap setanding seperti Pulau Layang-Layang, Mabul dan Kapalai.

No comments: