Friday, March 11, 2011

Siap sedia pindahkan penduduk


2011/03/12

MKN buka bilik operasi pantau tsunami di Labuan, perairan Sabah

KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuka bilik operasinya bagi membuat persediaan memindahkan penduduk berhampiran kawasan pantai di Sabah dan Labuan berikutan tsunami akibat gempa bumi paling kuat 8.9 pada skala Richter yang melanda Jepun, semalam.
Setiausahanya, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab, berkata sebagai langkah awal, MKN menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) mengeluarkan amaran kepada penduduk kawasan terbabit supaya tidak turun laut dan menjauhi kawasan pesisir pantai berikutan jangkaan paras air laut dijangka naik membahayakan nelayan dan perahu kecil.
“Kita terpaksa memindahkan penduduk di kawasan terbabit jika paras air laut meningkat secara tiba-tiba lebih satu meter kesan daripada tsunami itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mohamed Thajudeen berkata, MKN mengadakan mesyuarat sejurus laporan kejadian gempa bumi diikuti tsunami di Jepun tengah hari semalam dan mengambil keputusan mengarahkan JMM meramalkan paras air laut yang mungkin melanda Sabah dan Labuan.

“Saya sudah mengarahkan JMM supaya segera menghantar laporan berkenaan untuk tindakan lanjut termasuk mengkaji kemungkinan perlu memindahkan penduduk. Kita perlu membuat persiapan rapi dengan kerjasama semua pihak bagi menghadapi segala kemung-kinan,” katanya.

Terdahulu, jurucakap JMM berkata, penduduk di Labuan dan Sabah dinasihati supaya menjauhi pesisir pantai ekoran laut bergelora dan paras air laut lebih tinggi daripada yang dijangka semalam dan pemantauan akan terus dilakukan hari ini bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
“Paras air meningkat ekoran gempa bumi kuat dan diikuti dengan tsunami besar di Jepun pada tengah hari semalam,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun jurucakap itu berkata, buat masa ini, tiada amaran tsunami dikeluarkan di negara ini kerana berdasarkan jangkaan, peningkatan paras air laut di Sabah tidak melebihi 0.5 meter dan pusat gempa jauh dari Sabah.

Thajudeen berkata, MKN turut menunggu keputusan daripada Kementerian Luar mengenai langkah yang perlu mengenai kemungkinan ada rakyat atau pelajar Malaysia yang di Jepun yang memerlukan bantuan termasuk membawa mereka keluar dari kawasan bencana.

“Saya sudah menghubungi Wisma Putra berhubung perkara ini dan menunggu arahan daripada mereka. Selain itu, kita juga mendapat tahu Jepun sudah pun membuat rayuan mendapatkan bantuan dunia dan MKN sudah mencadangkan bentuk bantuan yang boleh dihulurkan,” katanya.

Sementara itu, sumber menyatakan pasukan mencari dan menyelamat Malaysia (SMART) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut dikerah bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan dihantar ke Jepun.

No comments: