Wednesday, July 7, 2010

Memburu cinta suami orang..........

CINTA tidak boleh dipaksa, kata orang tetapi cinta juga boleh ditolak jika risikonya tinggi dan mengancam kebahagiaan orang lain. Kisah cinta tiga segi mungkin lumrah tetapi cinta yang sengaja dicari juga bersepah-sepah. Jika di katakan cinta itu buta rasanya tidak lagi relevan sebab yang buta adalah orang yang mencari cinta, tidak pandai menilai dan memilih. Itulah mukadimah saya minggu ini, episod kisah cinta yang menghancurkan kebahagiaan orang lain. Menariknya minggu ini kisah dikirim oleh seorang wanita yang bekerja di sebuah kilang di utara tanah air yang menamakan dirinya Shira. Kata Shira dia terpanggil berkongsi kisah ini kerana tidak sanggup lagi melihat gelagat kebanyakan gadis yang sekarang ini terlalu ghairah menjerat suami orang untuk dijadikan teman hidup. Contohnya kisah yang berlaku di sebuah kilang, tempat kerja Shira.
Apa yang ingin Shira ceritakan adalah untuk panduan dan iktibar kaum wanita yang mungkin sedang terjerat di dalam kancah tiga segi seperti kisah ini. Begini kata Shira. "Saya ingin menyentuh tentang sikap anak gadis kita sekarang yang pada saya tidak ada perasaan malu atau segan lagi. "Sikap merendah diri, lembah lembut dan berbudi bahasa terutama dengan orang tua sudah semakin luntur. Jarang ditemui gadis yang berbudi pekerti tinggi seperti pada masa lalu. "Yang dilihat kebanyakannya gadis dan wanita yang tidak lagi menjaga tingkah laku, tidak hormatkan orang dan bergaul dengan lelaki melebihi batas. "Saya ingin mengambil contoh akan kejadian di tempat saya bekerja, sebuah kilang di utara tanah air. "Kisahnya membabitkan seorang gadis berusia 25 tahun yang mempunyai menjalin hubungan dengan seorang penyelia di kilang yang sama berstatus suami orang. "Lelaki ini mempunyai isteri dan tiga orang anak. Tahap percintaan mereka amat kritikal dan hampir bernikah. "Setiap hari mereka makan dan pulang bersama. Malah mereka langsung tidak ada segan silu untuk bermesra di tempat kerja. "Meluatnya saya... Bukan saya sahaja semua pekerja lain juga mengalami perasaan yang sama. "Nak dijadikan cerita isteri penyelia itu dapat menghidu hubungan mereka. Apa lagi, meluru si isteri datang ke kilang dan bersemuka dengan gadis tersebut. "Kecoh satu kilang. Mereka bertengkar dan saling memburuk-burukkan antara satu sama lain. "Bos besar kilang juga turut terbabit meleraikan keadaan. Bagaimanapun si gadis ini masih tunjuk cool macam tidak ada apa berlaku. "Semua orang menuding jari kepada penyelia tersebut kerana menjadi punca pergaduhan mereka. Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. "Selepas kejadian itu penyelia itu macam kena ikat kakinya. Pergi dan balik kerja dijemput oleh isteri. Sehinggakan waktu makan tengah hari juga isteri datang menjemput untuk makan bersama-sama. "Akhirnya kerana tidak tahan malu dan tidak dipeduli lagi oleh si penyelia, gadis itu mohon tukar tempat kerja. "Korek punya korek akhirnya saya dapat tahu sebelum ini ada pekerja lain juga cuba mengurat dia. Tetapi tidak dilayan kerana tidak ada jawatan dan tidak kacak. "Saya ingat perkara itu berhenti di situ rupanya tidak. Sebelum bertukar tempat kerja dia sempat juga bercinta dengan lelaki lain juga suami orang. "Konon cerita lelaki ini pada mulanya cuba menasihati dia dia tetapi tersangkut. Mujur lelaki itu cepat sedar. "Bila sudah terlepas daripada cengkaman gadis itu baru masing-masing tersedar, pada hal gadis itu bukanlah hebat sangat, rupa paras pun biasa sahaja. "Saya dengar berita kerana kecewa tidak ada teman lelaki walaupun usia sudah 25 tahun gadis itu telah berjumpa seorang bomoh untuk mandi bunga supaya lelaki jatuh hati kepadanya. "Sejauh mana kebenaran dakwaan itu wallahualam. Tetapi apa yang saya perhatikan, ada kebenarannya. Kebanyakan kakitangan kilang amat mesra dengannya. "Jika lelaki yang tidak kuat iman pasti akan tunduk kepadanya tetapi mujurlah semua yang terkena cepat sedar dan kembali ke pangkal jalan.
"Sebagai orang lama saya juga turut menasihat pekerja lelaki di kilang itu supaya berwaspada dengan gadis itu. Mana tahu kalau ada yang terjerat lagi. "Sekarang kilang tempat kerja kami kembali aman setelah dia berpindah. Syukur alhamdulillah. "Tapi melalui kawan-kawan khabar yang saya dengar di tempat kerja barunya juga dia mengulangi sikapnya itu memburu cinta suami orang. "Apa pun saya berharap dia akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Pada gadis-gadis jagalah maruah diri. Hormati hak orang lain dan jangan jadi perampas hanya untuk keseronokan sendiri sedangkan orang lain menderita," kata Sira menutup cerita.
Cerita Shira bagaikan kisah dalam drama. Saya setuju dengan Shira yang mengatakan gadis dan wanita sekarang amat berani. Keberanian mereka cukup luar biasa. Bagaimanapun, elok kita ambil iktibar daripada kisah yang telah Shira ceritakan. Elakkan berbuat sesuatu yang boleh menghancurkan hati orang lain terutama dalam bab rumah tangga. Ingatlah kebahagiaan terletak pada cara bagaimana kita melalui ujian untuk satu kehidupan panjang yang menceriakan. Menutup kata, pesanan saya, seorang wanita yang berfikir akan mampu mengubah padang menjadi sebuah kebun yang indah.
Salam

No comments: