Wednesday, July 7, 2010
Memburu cinta suami orang..........
CINTA tidak boleh dipaksa, kata orang tetapi cinta juga boleh ditolak jika risikonya tinggi dan mengancam kebahagiaan orang lain. Kisah cinta tiga segi mungkin lumrah tetapi cinta yang sengaja dicari juga bersepah-sepah. Jika di katakan cinta itu buta rasanya tidak lagi relevan sebab yang buta adalah orang yang mencari cinta, tidak pandai menilai dan memilih. Itulah mukadimah saya minggu ini, episod kisah cinta yang menghancurkan kebahagiaan orang lain. Menariknya minggu ini kisah dikirim oleh seorang wanita yang bekerja di sebuah kilang di utara tanah air yang menamakan dirinya Shira. Kata Shira dia terpanggil berkongsi kisah ini kerana tidak sanggup lagi melihat gelagat kebanyakan gadis yang sekarang ini terlalu ghairah menjerat suami orang untuk dijadikan teman hidup. Contohnya kisah yang berlaku di sebuah kilang, tempat kerja Shira.
Apa yang ingin Shira ceritakan adalah untuk panduan dan iktibar kaum wanita yang mungkin sedang terjerat di dalam kancah tiga segi seperti kisah ini. Begini kata Shira. "Saya ingin menyentuh tentang sikap anak gadis kita sekarang yang pada saya tidak ada perasaan malu atau segan lagi. "Sikap merendah diri, lembah lembut dan berbudi bahasa terutama dengan orang tua sudah semakin luntur. Jarang ditemui gadis yang berbudi pekerti tinggi seperti pada masa lalu. "Yang dilihat kebanyakannya gadis dan wanita yang tidak lagi menjaga tingkah laku, tidak hormatkan orang dan bergaul dengan lelaki melebihi batas. "Saya ingin mengambil contoh akan kejadian di tempat saya bekerja, sebuah kilang di utara tanah air. "Kisahnya membabitkan seorang gadis berusia 25 tahun yang mempunyai menjalin hubungan dengan seorang penyelia di kilang yang sama berstatus suami orang. "Lelaki ini mempunyai isteri dan tiga orang anak. Tahap percintaan mereka amat kritikal dan hampir bernikah. "Setiap hari mereka makan dan pulang bersama. Malah mereka langsung tidak ada segan silu untuk bermesra di tempat kerja. "Meluatnya saya... Bukan saya sahaja semua pekerja lain juga mengalami perasaan yang sama. "Nak dijadikan cerita isteri penyelia itu dapat menghidu hubungan mereka. Apa lagi, meluru si isteri datang ke kilang dan bersemuka dengan gadis tersebut. "Kecoh satu kilang. Mereka bertengkar dan saling memburuk-burukkan antara satu sama lain. "Bos besar kilang juga turut terbabit meleraikan keadaan. Bagaimanapun si gadis ini masih tunjuk cool macam tidak ada apa berlaku. "Semua orang menuding jari kepada penyelia tersebut kerana menjadi punca pergaduhan mereka. Bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. "Selepas kejadian itu penyelia itu macam kena ikat kakinya. Pergi dan balik kerja dijemput oleh isteri. Sehinggakan waktu makan tengah hari juga isteri datang menjemput untuk makan bersama-sama. "Akhirnya kerana tidak tahan malu dan tidak dipeduli lagi oleh si penyelia, gadis itu mohon tukar tempat kerja. "Korek punya korek akhirnya saya dapat tahu sebelum ini ada pekerja lain juga cuba mengurat dia. Tetapi tidak dilayan kerana tidak ada jawatan dan tidak kacak. "Saya ingat perkara itu berhenti di situ rupanya tidak. Sebelum bertukar tempat kerja dia sempat juga bercinta dengan lelaki lain juga suami orang. "Konon cerita lelaki ini pada mulanya cuba menasihati dia dia tetapi tersangkut. Mujur lelaki itu cepat sedar. "Bila sudah terlepas daripada cengkaman gadis itu baru masing-masing tersedar, pada hal gadis itu bukanlah hebat sangat, rupa paras pun biasa sahaja. "Saya dengar berita kerana kecewa tidak ada teman lelaki walaupun usia sudah 25 tahun gadis itu telah berjumpa seorang bomoh untuk mandi bunga supaya lelaki jatuh hati kepadanya. "Sejauh mana kebenaran dakwaan itu wallahualam. Tetapi apa yang saya perhatikan, ada kebenarannya. Kebanyakan kakitangan kilang amat mesra dengannya. "Jika lelaki yang tidak kuat iman pasti akan tunduk kepadanya tetapi mujurlah semua yang terkena cepat sedar dan kembali ke pangkal jalan."Sebagai orang lama saya juga turut menasihat pekerja lelaki di kilang itu supaya berwaspada dengan gadis itu. Mana tahu kalau ada yang terjerat lagi. "Sekarang kilang tempat kerja kami kembali aman setelah dia berpindah. Syukur alhamdulillah. "Tapi melalui kawan-kawan khabar yang saya dengar di tempat kerja barunya juga dia mengulangi sikapnya itu memburu cinta suami orang. "Apa pun saya berharap dia akan sedar dan kembali ke pangkal jalan. Pada gadis-gadis jagalah maruah diri. Hormati hak orang lain dan jangan jadi perampas hanya untuk keseronokan sendiri sedangkan orang lain menderita," kata Sira menutup cerita.
Cerita Shira bagaikan kisah dalam drama. Saya setuju dengan Shira yang mengatakan gadis dan wanita sekarang amat berani. Keberanian mereka cukup luar biasa. Bagaimanapun, elok kita ambil iktibar daripada kisah yang telah Shira ceritakan. Elakkan berbuat sesuatu yang boleh menghancurkan hati orang lain terutama dalam bab rumah tangga. Ingatlah kebahagiaan terletak pada cara bagaimana kita melalui ujian untuk satu kehidupan panjang yang menceriakan. Menutup kata, pesanan saya, seorang wanita yang berfikir akan mampu mengubah padang menjadi sebuah kebun yang indah.
Salam
Sunday, July 4, 2010
Detox Foot Patch! Pelekat Pakai Buang TOKSIN ......
Tiada bahan terlarang dalam kandungannya. Ianya mengandungi herba-herba terpilih seperti :-
- Wood Vinegar Extract - Vitamin C
- Bamboo vinegar - Tourmaline
- Extract Chitosan - Cornstarch
- Plant power
harga murah jer RM30 jer sebungkus...10keping....berminat sila email ke faraija@yahoo.com...
- Wood Vinegar Extract - Vitamin C
- Bamboo vinegar - Tourmaline
- Extract Chitosan - Cornstarch
- Plant power
harga murah jer RM30 jer sebungkus...10keping....berminat sila email ke faraija@yahoo.com...
Tuesday, June 22, 2010
Apabila lelaki gila talak....
DALAM Islam perkara halal yang paling dibenci di sisi Allah SWT adalah talak. Mengikut syarak talak merupakan milik mutlak kaum lelaki. Namun ia bukan sesuatu yang boleh dipermudahkan disebut bahawa salah satu perkara yang disebut secara main-main pun jadi ialah menjatuhkan talak .Talak merupakan kalimah bahasa Arab yang bermaksud 'menceraikan' atau 'melepaskan'. Mengikut istilah syarak ia bermaksud 'melepaskan ikatan pernikahan atau perkahwinan dengan kalimah atau lafaz yang menunjukkan talak atau perceraian'. Jika suami melafazkan kalimah ini ke atas isterinya maka dengan sendirinya mereka berdua telah terpisah dan isterinya berada dalam keadaan idah. Talak memang mudah dijatuhkan. Namun kesan dan bahana selepas ia diungkapkan kadang kala tidak tersangka malah oleh 'pelontar' talak itu sendiri. Adakalanya ia boleh menjadi mimpi ngeri kepada kedua-dua belah pihak. Sebab itu dalam masyarakat Melayu wujud istilah 'gila talak' - biasanya dikaitkan dengan suami yang tergila-gilakan bekas isteri. Akibatnya bermacam-macam perkara dilakukan untuk mengembalikan bekas isteri ke pangkuan. Ada yang berlembut ada pula yang kasar dan ganas hingga membabitkan perbuatan yang tidak pernah terlintas di fikiran kita. Bukan sahaja fikiran tidak keruan malah hidup tunggang-terbalik gara-gara tidak dapat melupakan bekas isteri apatah lagi apabila mendapat tahu wanita tersebut sudah ada pengganti. ''Gila talak ini bermacam-macam. Ada yang setelah melepaskan (menceraikan) isteri, baru timbul perasaan sayang semula kepada isteri.
"Masa itu si suami mulalah membuat pelbagai alasan untuk berjumpa bekas isteri. ''Ada juga sebelum bercerai perasaan marah terhadap isteri meluap-luap tetapi selepas bercerai diburu pula dengan perasaan cemburu terhadap bekas isteri yang bukan lagi menjadi miliknya. ''Ada suami yang hilang perasaan malu, setiap hari menunggu di depan rumah, bawah pokok dan sebagainya. Kata rindukan anak tetapi sebenarnya rindukan emak. "Ada yang sanggup menyuruh orang lain supaya memujuk bekas isterinya kembali kepadanya,'' demikian cerita kaunselor perkahwinan dan rumah tangga berdaftar, Hushim Salleh ketika dihubungi baru-baru ini. Ujar Hushim, ramai lelaki berjumpanya untuk mendapat khidmat nasihat kerana gagal melupakan bekas isteri selepas bercerai. Menariknya ada di antara mereka ini terdiri daripada golongan profesional seperti peguam, juruterbang, pensyarah dan jurutera yang rata-rata berumur 40 tahun ke atas.
"Wanita atau isteri zaman sekarang rata-rata berpendidikan dan berkerja. Jika mereka mengetahui suami mempunyai hubungan dengan wanita lain, mereka berani bersemuka dengan suami. "Suami pula yang marah kerana rahsianya diketahui isteri mudah melatah dan dengan mudah melafazkan talak tanpa berfikir panjang.
"Memang talak dibenarkan sebagai cara membubarkan perkahwinan secara baik tetapi ia boleh juga dianggap tempoh tinggal berasingan antara suami dan isteri," katanya. Hikmahnya adalah supaya ketika tempoh itu suami isteri boleh berfikir semula tentang kebaikan pasangan masing-masing di samping membuat perbandingan daripada segi layanan, kasih sayang, seksual dan kewangan. ''Sebab itu ada talak satu dan dua di mana pasangan boleh rujuk semula, tetapi jika talak tiga masalah besar akan timbul. ''Itulah sebabnya kita dengar ada lelaki yang sanggup membakar masjid kerana tidak mahu isterinya bernikah dengan lelaki lain di masjid itu. "Mungkin lelaki ini menghadapi tekanan yang melampau, memendam rasa, fikiran pun buntu dan sanggup membuat sesuatu yang di luar kewarasan. "Mungkin juga kerana dia terlalu sayangkan isterinya namun kerana sudah terlepas kata, tidak boleh ditarik balik,'' katanya. Pengajaran yang boleh diambil katanya, ialah sebelum suami hendak melafazkan talak dapatkan khidmat kaunseling dahulu agar tidak timbul penyesalan. "Jangan salah guna kuasa talak. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Pasangan suami isteri muda sekarang apabila ada masalah, mudah sangat hendak bercerai. ''Saya mencadangkan agar masjid-masjid mengadakan khidmat kaunseling bagi membantu pasangan yang menghadapai masalah.
" Masjid kita masih belum ada khidmat ini sedangkan gereja sudah lama menyediakan khidmat tersebut dan mempunyai pusat kaunseling sendiri. "Saya sendiri ada mengajar para paderi mengenai kaunseling rumah tangga semasa menjadi pensyarah di Universiti Malaya dahulu,'' ujar Hushim mengakhiri perbualan.
Kereta termahal di dunia......
| |
| Hanya terdapat empat model Bugatti Type 57SC Atlantic di dunia dan kereta ini dijual dengan harga kira-kira RM130 juta. |
MEMILIKI kereta mewah atau kereta idaman sememangnya suatu yang tidak dapat dipisahkan dengan naluri dan keinginan manusia terutama golongan lelaki.
Maka tidak hairanlah jika kita dapat melihat ramai daripada pemilik kereta yang sanggup mengubahsuai kereta agar kelihatan seperti kereta sports yang menjadi idaman mereka.
Tetapi ada satu lagi golongan jutawan yang hobi mereka mengumpul kereta-kereta lama atau klasik dan sanggup membelanjakan wang berjuta-juta dollar untuk memiliki barangan antik yang diminati mereka.
Di California, Amerika Syarikat, baru-baru ini, sebuah kereta antik BUgatti Atlantic Model 1936 telah dijual dengan harga antara RM100 juta dan RM130 juta.
Kereta Bugatti jenis 57SC itu boleh dianggap sebagai antara kereta tercantik pernah dicipta dan pernah memenangi Anugerah Pebble Beach Concours d'Elegance 2003.
Kereta yang memecah rekod jualan kereta paling mahal di dunia itu mempunyai reka bentuk Perancis dan diperbuat daripada aluminium pada badannya.
Siapa pembeli dan jumlah sebenar yang dibayar untuk mendapatkan kereta itu tidak didedahkan oleh pelelongnya Gooding & Company, bagaimanapun, dipercayai kereta itu dijual kepada Muzium Automotif Mullin di California milik Peter Mullin.
Mullin merupakan Pengerusi Emeritus of MullinTBG dan pengasas serta pengerusi syarikat M. Financial yang mempunyai hobi mengumpul kereta-kereta antik keluaran negara Perancis dan ditempatkan di muzium automotifnya.
Hanya terdapat empat model Bugatti Type 57SC Atlantic di dunia dan salah satu daripadanya dimiliki oleh Ralph Lauren, manakala kereta yang dijual dengan harga tertinggi di dunia itu dimiliki oleh mendiang Dr. Peter Williamson yang juga merupakan pengumpul koleksi kereta Bugatti.
Jualan kereta tersebut telah memecah rekod jualan lelong yang dilaksanakan oleh Goodong & Company sebelum ini selepas berjayamenjual kereta Ferrari 250 Testa Rossa 1967 dengan harga AS$12.2 juta di Maranello, Itali pada 2009.
Kereta James Bond dilelong
Sementara itu, kereta Aston Martin DB5 yang digunakan oleh James Bond dalam filem Goldfinger dan Thunderball akan dilelong pada 27 Oktober ini di London dengan anggaran nilai melebihi RM16 juta.
Menurut syarikat pelelong RM Auctions, ini adalah kali pertama kereta Aston Martin DB5 keluaran 1964 yang digunakan oleh Sean Connery dalam filem 007 itu ditawarkan untuk dibeli oleh orang awam.
Apa yang menarik, kereta itu bukan sahaja mengekalkan gaya dan kejuruteraannya tetapi juga peralatan serta gajet asal seperti cermin kalis peluru, nombor pendaftaran khas JB007, alat pengesan, panel bumbung boleh dibuka, pelepas asap dan minyak pelicin.
Pada 1969, pemilik stesen radio Philadelphia, Jerry Lee berjaya menyakinkan Kilang Aston Martin Lagonda untuk menjualkan kereta itu kepadanya dengan harga RM39,000.
Hasil lelongan kereta itu nanti akan dimasukkan kepada Jerry Lee Foundation, sebuah pertubuhan yang menjalankan aktiviti mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan pendidikan.
Kali terakhir kereta model seperti itu dijual di pasaran ialah pada 2006 apabila dibeli oleh seorang pembeli persendirian dengan harga RM6.9 juta, bagaimanapun Aston Martin itu tidak pernah digunakan untuk lakonan dalam filem James Bond.
Jangan pandang remeh sakit perut
| |
| Jika mengalami sakit perut yang berpanjangan segera berjumpa dengan doktor. – Gambar hiasan |
TAHUKAH anda sakit perut yang berpanjangan boleh membawa maut sekiranya anda tidak mendapatkan rawatan segera? Selalunya, masyarakat hari ini beranggapan mereka menghadapi keracunan makanan atau tersalah makan sekiranya mengalami sakit perut.
Sedangkan antara tanda-tanda keracunan makanan ini ialah ia hanya akan muncul dalam masa dua hingga 24 jam selepas makan.
Ia juga bergantung kepada tahap keracunan dan mereka yang mengalaminya mungkin juga akan mengalami demam dan seram sejuk, najis berdarah serta penyahhidratan.
Keracunan makanan berlaku apabila keradangan perut atau usus yang disebabkan oleh pengambilan makanan tercemar.
Menurut Pakar Perubatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari, kesakitan pada bahagian perut atau abdomen boleh berpunca daripada pelbagai keadaan yang memberi kesan kepada pelbagai organ.
Bahagian abdomen adalah terdiri daripada bahagian bawah tulang rusuk, tulang pelvik ke bawah serta kedua-dua sisi badan.
Biarpun kesakitan pada bahagian abdomen boleh datang daripada tisu di dinding yang mengelilingi rongga abdomen, sakit di bahagian ini selalunya digunakan untuk menerangkan kesakitan yang berasal dari dalam rongga abdomen.
‘‘Sekiranya tersalah makan, biasanya anda akan alami cirit-birit atau sakit perut pada awal pagi, sekitar pukul 3 atau 4 dan ia mengambil masa lapan jam selepas makan untuk mengalami tanda-tanda tersebut.
‘‘Kebiasaannya anda tidak akan terus mendapat cirit-birit kerana jenis bakteria dan virus yang ada boleh menyebabkan kita muntah-muntah dahulu, iaitu kurang daripada dua hingga tiga jam selepas makan.
‘‘Sekiranya anda keracunan makanan, ia akan mengambil satu hingga dua hari untuk baik tetapi kalau ia berpanjangan dan melebihi satu hingga dua minggu, kita kena buat siasatan dan tengok kenapa ada masalah cirit-birit yang berpanjangan,’’ ujarnya ketika ditemui di Kelana Jaya, baru-baru ini.
Tambah beliau, sekiranya jangkitan ataupun kesakitan masih belum reda ia pasti mempunyai masalah lain seperti sama ada disebabkan oleh masalah metabolik yang menyebabkan cirit-birit, mahupun masalah penyakit radang usus yang boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit yang berpanjangan disertai pendarahan ataupun kuman di usus oleh parasit seperti ameba yang boleh menyebabkan masalah cirit-birit serta kejadian nanah di hati.
Jelas beliau lagi, bagi penyakit gastrik pula, sekiranya ia merupakan ulser yang memudaratkan, ia perlu dibedah segera.
Pesakit juga dinasihatkan menjalani pemeriksaan endoskopi (OGDS) ataupun pemeriksaan segera jika keadaan dilihat membahayakan kesihatan dan nyawa.
Beliau turut memaklumkan kemungkinan berlakunya gastrik (dispepsia) dengan ulser atau tanpa ulser, mahupun kanser yang berpunca dari aktiviti bakteria helicobacter pylori yang berada di dalam perut dalam jangka masa yang lama, tanpa disedari.
‘‘Jangan ambil mudah terhadap gastrik kerana gastrik juga boleh memudaratkan dan juga boleh membawa maut,’’ katanya.
Untuk itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menganggap sakit perut satu penyakit yang remeh dan diminta berjumpa dengan doktor pada kadar yang segera.
Menurut Dr. Abdul Malik lagi, sekiranya sakit perut yang dihadapi tidak beransur pulih, eloklah sekiranya dirujuk kepada pakar bedah untuk langkah seterusnya.
‘‘Kesakitan pada bahagian abdomen yang kerap mestilah dirujuk kepada pakar perubatan. Ini membolehkan doktor membuat pemeriksaan ke atas perut dan tempat-tempat yang berkenaan untuk mengenal pasti punca serta jenis penyakit yang dihadapi.
‘‘Perlu diingatkan, banyak perkara boleh menyebabkan sakit perut ini termasuklah nanah di dalam perut,’’ tambah beliau.
Anda juga dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup yang aktif dan sihat, diet yang berkhasiat serta makanan yang seimbang yang boleh membantu mencegah atau mengurangkan keasidan gastrik, sembelit serta masalah penghadaman lain.
Ini sekali gus memelihara perut anda daripada terkena pelbagai jangkitan kuman serta virus yang tidak diingini.
Subscribe to:
Posts (Atom)





